12 Mei 2026 | Selasa | Batu Pahat
Satu sesi pemantauan telah dijalankan di ladang penanaman nanas MS16, atau turut dikenali sebagai MNS2020, yang terletak di Pt. Lubok Darat, Semerah, Batu Pahat. Ladang ini diusahakan oleh En. Sujai dan berada di bawah bimbingan teknikal Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor.
Varieti nanas MS16 telah didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian Malaysia di bawah nombor pendaftaran AC18. Varieti ini juga mencatat sejarah tersendiri sebagai satu-satunya varieti nanas yang dibangunkan dan dihasilkan di Stesen Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) sebelum diperluaskan kepada pengusaha dan pekebun.
Pemantauan ini dilaksanakan sebagai langkah awal bagi menilai potensi pengembangan varieti tersebut ke peringkat industri. Berdasarkan pemerhatian awal, varieti MS16 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan ciri isi yang rangup, tekstur yang baik serta tahap kemanisan yang tinggi. Kelebihan ini dilihat berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada industri nanas negara, seiring kejayaan varieti MD2 yang kini menjadi pilihan utama pasaran.
Lawatan pemantauan ini telah diketuai oleh En. Ahmad Fitri Shah bin Mohd Yussof bersama PKD Batu Pahat serta Unit Bekalan Benih LPNM Negeri Johor bagi meninjau perkembangan tanaman dan sokongan teknikal di lapangan.