KUNJUNGAN HORMAT KE JABATAN PERTANIAN SARAWAK
4 MEI 2026 | ISNIN | KUCHING
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Yang Berusaha Tuan Dominic Anak Chunggat. Kunjungan ini merupakan satu inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh jaringan kerjasama demi memacu pembangunan industri nanas di Sarawak.
Pertemuan tersebut memberi penekanan kepada beberapa fokus utama kolaborasi strategik, antaranya termasuk penyelarasan usaha bagi mencapai sasaran keluasan penanaman nanas di seluruh negeri.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai antara pengeluar nanas utama negara.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi pembangunan varieti premium seperti SG1 dan MD2 melalui pengukuhan sistem penyampaian bantuan benih berkualiti serta pemantapan khidmat nasihat teknikal secara lebih berstruktur dan berkesan.
Secara keseluruhannya, sinergi antara LPNM Negeri Sarawak dan Jabatan Pertanian Sarawak ini mencerminkan iltizam bersepadu dalam memastikan industri nanas terus berkembang sebagai sektor ekonomi yang inklusif dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan komuniti tani di Sarawak.
