Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan ke izinanNya jua, saya telah dilantik sebagai Ketua Pengarah berkuatkuasa 3hb Mei 2021. Pelantikan saya ini merupakan satu tanggjawab dan amanah kepada saya untuk mengalas tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin sebagai Pegawai Kerajaan.
LPNM yang ditubuhkan pada 15 Disember 1957 yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu (LPNTM) kini telah menjangkau usia 63 tahun. Sepanjang penubuhan LPNM, agensi berteraskan pertanian ini telah banyak membantu pekebun-pekebun kecil nanas di seluruh negara dan juga kepada pengusaha sektor industri asas tani (IAT) berasaskan nanas.
Memandang kehadapan, LPNM telah mengariskan beberapa halatuju bagi memperkasakan sektor industri nanas sepanjang tempoh Rancangan Malaysia (RMK -12, 2021-2025) yang bermatlamatkan menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai pengeluaran dan produktiviti tinggi dalam pengeluar nanas dunia. Strategi utama dalam tempoh ini adalah memperluaskan kawasan penanaman nanas kepada 20,000 hektar menjelang 2025, melaksanakan kolaborasi awam swasta bagi pembangunan tanaman berskala besar dan komersial, mewujudkan lebih banyak konsep kelompok atau koperasi nanas bagi pengurusan yang lebih mampan dan efisien serta meningkatkan penglibatan golongan muda terutamanya golongan B40 kepada M40.
Varieti premium seperti MD2 akan dijadikan fokus perluasan kawasan tanaman bagi memenuhi permintaan terutamanya pasaran eksport serta pasaran dalam negara. Varieti MD2 telah dikenalpasti sebagai varieti yang mampu untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan pengusaha terlibat susulan harganya yang tinggi dipasaran berbanding varieti yang lain.
Sejajar dengan revolusi pertanian 4.0, LPNM juga tidak akan ketinggalan dalam memanfatkan kepesatan penggunaan teknologi dalam kemajuan pertanian terutamanya sektor tanaman nanas. Intenet of Things (IOT) kini menjadi tumpuan dalam memudahkan pengusaha untuk memantau dan menguruskan ladang nanas dengan pengurusan yang tepat dan sistematik bagi menghasilkan pengeluaran nanas yang tinggi dan berkualiti serta menjimatkan kos operasi secara keseluruhan.
LPNM juga akan memberi penumpuan kepada sektor industri asas tani (IAT) yang berasaskan makanan dan bukan makanan. Sektor ini menjadi nilai tambah kepada produk hasilan nanas sekaligus membuka ruang dan peluang kepada pengusaha terlibat menambah pendapatan serta memaksimumkan penggunaan rantaian pengeluaran nanas secara keseluruhan.
Ramai pekebun dan pengusaha nanas berjaya yang telah dilahirkan melalui program bantuan yang disalurkan oleh LPNM. Tetapi yang lebih penting adalah semangat, iltizam serta usaha gigih yang ditunjukan oleh pekebun dan pengusaha merupakan faktor utama kepada kejayaan mereka dalam bidang perusahaan nanas. LPNM juga membantu dan menggalakan pekebun dan pengusaha untuk mempertingkatkan perusahaan mereka melalui penghasilan idea-idea yang inovatif dan kreatif bagi menghasilkan impak pengeluaran produk yang lebih baik dan bermutu.
Saya yakin dan percaya, dengan kebertanggungjawaban, amanah dan dedikasi dari seluruh tenaga kerja LPNM, misi dan visi dalam memajukan industri nanas negara akan dapat dicapai.
Sekian terima kasih.
MOHD KHAIRUZAMRI M.SALLEH
Ketua Pengarah
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
Wisma Nanas, No. 5, Jalan Padi Mahsuri
Bandar Baru UDA,
81200 Johor Bahru,
Johor, Malaysia
Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas
Tarikh Kemaskini: 3 Disember 2024 pada 15:34:41
Jumlah Pengunjung November 2024 : 4665
Jumlah Pengunjung Sehingga November 2024 : 719846