Logo-BM
MENU

SEJARAH

Pengenalan Korporat

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (Lembaga Nanas) adalah sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan pada tahun 1957 yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu. Selaras dengan perkembangan industri nanas, perubahan nama agensi kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia telah dibuat pada tahun 1992 tertakluk kepada Akta Perindustrian Nanas Malaysia 1957 (Akta 105 - Semakan 1990) di bawah Kementerian Perusahaan Utama.

Pada 29 Mei 1996, Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk membubarkan Lembaga Nanas dan fungsinya dipindahkan kepada Jabatan Pertanian, FAMA dan MARDI. Perlaksanaan pembubaran dilaksanakan secara berperingkat bagi tempoh 3 tahun tertakluk kepada pembubaran Akta Perindustrian Nanas 1957 (Semakan 1990).

Lembaga Nanas telah diletakkan di bawah Kementerian Pertanian pada 1 Jun 1999 bagi menyempurnakan perlaksanaan pembubaran tersebut. Kementerian Pertanian telah diberi peranan sebagai agensi peneraju bagi menyelaraskan tindakan pembubaran yang berkaitan dengan pengagihan fungsi, kakitangan, harta, tanggungan, kuasa dan perundangan Lembaga Nanas di kalangan agensi yang terlibat.

Sehubungan itu, 56 kakitangan dari Bahagian Pembangunan Lembaga Nanas dipindahkan ke Seksyen Pembangunan Industri Nanas Johor, 8 kakitangan dari Bahagian Pentadbiran Lembaga Nanas telah ditukar ke Perkhidmatan Awam Negeri Johor dan 14 kakitangan dari Bahagian Merinyu dan Bahagian Perancangan dan Pembangunan Pasaran dipindahkan ke Pejabat FAMA Cawangan Johor.

Seramai 22 kakitangan telah dikekalkan di Lembaga Nanas untuk melaksanakan aktiviti yang berkaitan sehingga proses pembubaran selesai.

Kajian Semula
Bagaimanapun, pada 14 Jun 2000, Jemaah Menteri bersetuju untuk mengkaji semula keputusan pembubaran. Oleh itu, pada 15 September 2004, Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya Lembaga Nanas dikekalkan sebagai peneraju pembangunan industri nanas negara dan membatalkan keputusan pembubaran Lembaga Nanas pada 29 Mei 1996. Selain itu, harta alih dan harta tidak alih yang sedia ada di Lembaga Nanas juga dikekalkan dan semua jawatan.

Sejarah Penubuhan

Tahun 1888, Industri Nanas mula dibawa masuk ke Malaysia oleh orang Eropah di Singapura. Tahun 1921 tanaman nanas telah berkembang dengan pesat di selatan Johor seiring dengan perkembangan industri getah. Nanas ditanam di ladang-ladang getah secara selingan. Keluasan tanaman nanas sehingga 1921 adalah 16,000 ekar di Johor, 2000 ekar di Singapura dan 4,000 ekar di Selangor.

Pada tahun 1931, kawasan tanaman nanas telah meningkat kepada 52,000 ekar dan bertambah kepada 70,000 ekar dalam tahun 1936. Nanas pada ketika itu ditanam sebagai tanaman kontan dengan kepadatan tanaman 3,000 hingga 3,400 pokok per ekar dan diusahakan secara kelompok, namun demikian di Johor ianya diusahakan secara perladangan kontrak melalui sistem pawah. Kemelesetan industri getah pada tahun 1931 telah menjejaskan perkembangan tanaman nanas. Sejurus itu corak tanam nanas telah bertukar kepada tanaman tunggal, memandangkan pada ketika itu industri nanas memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi Malaysia.

Pada tahun 1932, penanaman secara tunggal telah diperluaskan, walau bagaimanapun, industri menghadapi masalah kekurangan kepakaran dan teknologi menyebabkan kawasan tanaman nanas mengalami masalah hakisan dan tidak dapat dikekalkan melebihi lima tahun.

Pada tahun 1938, Central Board Pineapple Packers telah ditubuhkan untuk menyusun semula industri nanas Negara.

Pada tahun 1941, Tanah Melayu menjadi pengeksport nanas kaleng ketiga terbesar dunia dengan kuantiti eksport 61,800mt.

Pada tahun 1947, The Johore Pineapple Committee telah dibentuk dengan menggariskan beberapa strategibagi memulihkan industri nanas diantaranya ialah mewajibkan kilang yang hendak beroperasi mempunyai ladang seluas tidak kurang dari 1,500 ekar.

Pada tahun 1955, Pineapple Joint Industrial Council telah ditubuhkan untuk mengawasi industri nanas dan bertindak sebagai sebuah agensi badan berkanun.

Pada tahun 1957, Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu diwujudkan dibawah Ordinan 427 bagi menggantikan Pineapple Joint Industrial Council yang berpusat di Negeri Johor. Peranan Lembaga adalah untuk mengawal dan memajukan industri nanas Negara melalui peraturan-peraturan yang digubal dibawahnya bagi memastikan perjalanan dan perkembangan industri berjalan dengan teratur melalui fungsi-fungsi yang digariskan iaitu mengawalselia dan menyelaras pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran serta menjalankan penyelidikan, pengembangan dan kawalan kualiti.

Pada tahun 1959, Industri nanas menghadapi krisis penurunan harga nanas kaleng dipasaran dunia yang mengakibatkan penurunan harga buah nanas dibawah paras kos pengeluaran.“Royal Commission of Enquiry” telah dilantik oleh Yang DiPertuan Agong Malaya dan Yang DiPertua Negara Singapura dan bertanggungjawab untuk mengkaji kedudukan industri nanas termasuk krisis harga, pengeluaran, pemprosesan dan pasaran nanas, dan telah mewujudkan satu kilang milik kerajaan iaitu Pineapple Cannery of Malaya bagi menjamin pasaran buah-buah nanas pekebun kecil.

Pada tahun 1974, Fungsi Pembangunan dan Penyelidikan (P&P) telah diambilalih oleh MARDI seiring dengan penubuhan MARDI (1972) yang berperanan dalam melaksanakan aktiviti P&P hasil-hasil pertanian.

Pada tahun 1990, Pineapple Industri Ordinance 1957 telah disemak semula dan dikenali sebagai Akta Perindustrian Nanas Malaysia 1957 (Semakan 1990) seiring dengan penukaran nama Lembaga Perusahaan Tanah Melayu kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

Pada tahun 1996 (Mei), selaras dengan penetapan Dasar Pengecilan Saiz Perkhidmatan Awam, Kerajaan telah memutuskan untuk membubarkan LPNM dan fungsinya dipindahkan kepada Jabatan Pertanian, FAMA dan MARDI dan menempatkan LPNM dibawah naungan Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani.

Pada tahun 2000 (Jun), Eksais pembubaran LPNM dikaji semula susulan dari hasil kajian yang melihat potensi nanas dibawah kategori 10 buah-buahan untuk pasaran eksport.

Pada tahun 2004 (September), LPNM dikekalkan sebagai sebuah Badan Berkanun yang bertanggungjawab untuk meraju pembangunan industri nanas Negara dengan kekuatan kapasiti 158 perjawatan.

Pada tahun 2007, Penstrukturan semula LPNM telah diluluskan dan telah menerima waran perjawatan berjumlah 372 jawatan.

Pada tahun 2010, perluasan penguasaan Akta 427 ke Negeri Sarawak dimana fungsi dan peranan LPNM telah diperluaskan melalui Extension Order ke Sarawak.

Latar Belakang Perkembangan Perindustrian Nanas

Industri pengkalengan telah wujud sejak lebih 100 tahun. Pengkalengan buah nanas secara komersial mula-mula dijalankan oleh orang-orang Cina di Singapura. Sebelum pembangunan komoditi lain,industri nanas merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara. Pada tahun 1957, Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu (LPNTM) telah ditubuhkan di bawah Ordinan Perusahaan Nanas 1957, sekarang dikenali sebagai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), yang berperanan mengawal dan memajukan industri nanas Malaysia.

Industri nanas kaleng mencatat eksport yang kedua tertinggi selepas tembikai di dalam kategori buah-buahan tropika. Industri ini juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada ekonomi negara dan memberi peluang-peluang pekerjaan secara langsung di sektor perladangan dan pemprosesan dan tidak langsung seperti sektor pengangkutan dan pembuatan yang lain. Dengan adanya agensi yang bertanggungjawab menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan industri nanas, Malaysia berkemampuan menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan masih upaya bertahan di pasaran utama.

Industri nanas Malaysia mendapat sokongan kerajaan dari segi polisi pembangunan tanah. Sektor pekebun kecil dan sektor ladang adalah diberi perhatian oleh kerajaan melalui pelaksanaan program-program pembangunan dan program sokongan industri.

Beberapa strategi telah diatur berdasarkan perancangan jangka panjang yang telah disusun. Fokus LPNM adalah untuk membuka kawasan-kawasan baru dan meningkatkan produktiviti serta menangani isu kekurangan bekalan buah ke kilang-kilang.

Globalisasi pensejagatan dan integrasi ekonomi dunia bererti pesaingan akan menjadi unsur paling utama dalam menentukan kejayaan dan berdaya kekalnya industri nanas Malaysia.

Disamping bertanggungjawab di dalam mengawal dan memajukan industri, LPNM perlu mengambilkira kecekapan, produktiviti, daya saing dan teknologi dalam pengeluaran, pemasaran dan perdagangan serta dapat menyusun strategi berasaskan kepada dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya penyusunannya menjadi lebih mampan dan berkesan.

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
Wisma Nanas, No. 5, Jalan Padi Mahsuri
Bandar Baru UDA,
81200 Johor Bahru,
Johor, Malaysia

Talian Pantas : 07-236 1211 / 07-236 1012
No Faks : 07-236 5694 / 07-236 5451
umum[at]mpib[dot]gov[dot]my

Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas

Tarikh Kemaskini: 20 Mac 2024 pada 08:18:22

0644735
Total Visit : 644735
Who's Online : 4
© 2022 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
chevron-down
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram